Saturday, December 24, 2022

Second ?

 




Pemerolehan Bahasa Kedua

Pengertian pemerolehan bahasa (language acquisition) berbeza dengan pembelajaran bahasa (language learning). Menurut Stephen D. Krashen, Pemerolehan bahasa ini menjurus kepada kemampuan linguistik yang telah dihayati secara alami atau tanpa disedari dan memusatkan pada bentuk-bentuk linguistik (kata-kata). Pembelajaran bahasa juga memiliki makna yang sebaliknya iaitu dilakukan dengan keadaan individu itu sedar dan merupakan hasil situasi belajar secara formal. Konteks pemerolehan bahassa bersifat semulajadi, sedangkan pembelajaran menjurus kepada situasi formal kerana lebih kepada ada sukatan pembelajaran. Seseorang individu yang belajar bahasa (pembelajaran) disebabkan motivasi prestasi, sedangkan memperoleh bahasa (pemerolehan) biasanya karena motivasi komunikasi. Belajar bahasa ditekankan untuk menguasai sesuatu ilmu, sementara pemerolehan bahasa untuk menguasai ketrampilan berkomunikasi. Menurut Stephen D Krashen, sistem pemerolehan (acquisition system) adalah proses penguasaan bahasa kedua secara bawah sadar. Maksudnya, ilmu-ilmu bahasa dihayati dalam keadaan separuh sedar.

 


PEMEROLEHAN BAHASA INGGERIS SEBAGAI BAHASA KEDUA DALAM PELBAGAI KONTEKS DI MALAYSIA.

Umum mengetahui bahawa bahasa Inggeris pada masa kini semakin kerap digunakan oleh mesyarakat dalam pelbagai situasi sama ada situasi formal mahupun situasi tidak formal. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa yang akan difahami oleh warga asing ketika kita berkomunikasi dengan mereka berbanding kita berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sangatlah penting untuk seseorang itu menguasai bahasa kedua seperti bahasa Inggeris. Oleh itu, terdapat beberapa kajian atau eksperimen yang telah dijalankan oleh para ahli psikolinguistik tentang penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Malaysia. Kajian dilakukan ke atas:

1)      Analisis Kesalahan Ke Atas Karangan Bahasa Inggeris.

Para ahli psikolinguistik telah menjalankan kajian analisis kesalahan ke atas karangan bahasa Inggeris yang ditulis oleh pelajar penutur asli bahasa Melayu yang berusia 13 tahun. Ketika usia baru mencapai 13 tahun, pelajar ini baru sahaja masuk ke sekolah menengah dan pengetahuan tentang bahasa Inggeris juga tidak mendalam. Dalam kajian yang dijalankan, para ahli psikolinguistik mendapati terdapat penggunaan yang tidak tepat terhadap kata sandang bahasa Inggeris seperti “a”, “the” dan “an” dalam karangan pelajar tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana hokum kerserasian subjek dan kata kerja (Subject-verb agreement rules) dan penggunaan kopula “be” (copula “be”) juga turut menjadi item nahu bahasa Inggeris yang sukar difahami oleh pelajar sekali gus menyukarkan mereka menggunakan nahu tersebut dalam kehidupan seharian sama ada secara formal mahupun tidak formal. Nahu bahasa Inggeris dan nahu bahasa Melayu memiliki perbezaan yang ketara dalam penggunaannya. Oleh itu, jelaslah bahawa perbezaan nahu telah menyebabkan kesukaran bagi seseorang pelajar itu menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

 

2)      Kajian Ke Atas Pelajar Melayu Di Sesebuah Universiti Tempatan Di Malaysia.

Terdapat juga kajian yang dilakukan ke atas pelajar Melayu di sesebuah universiti tempatan di Malaysia. Kajian yang telah dilakukan menggunakan sistem “penasihat” (“advisory”). Sistem ini menggunakan sistem “penasihat” iaitu dimana seorang pakar bahasa akan menjadi penasihat kepada beberapa orang pelajar yang sedang mempelajari bahasa Inggeris secara berautonomi. Menurut Teori Perkembangan Sosial Vygotsky, penasihat akan menjadi pembimbing kepada pelajar berkenaan apabila mereka berada di ZPD (Zon Perkembangan Proximal). Dalam konteks ini, penasihat iaitu pakar bahasa tersebut hendaklah sentiasa berada dalam persekitaran pembelajaran bahasa pelajar tersebut bagi membantu mereka dalam melakukan aktiviti-aktiviti bahasa yang mereka tidak dapat lakukan secara sendirian. Selain daripada penasihat seperti pakar bahasa, mereka juga memerlukan rakan-rakan sebaya dalam membantu proses pemerolehan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka serta dapat membantu mereka menggunakan bahasa kedua tersebut dengan lancar. Sebelum ini, kebanyakan kanak-kanak menggunakan kaedah Zon Perkembangan Proximal (Zone of Proximal Development) ini bagi mendapatkan bahasa kedua mereka. Namun demikian, bagi orang dewasa yang ingin menguasai bahasa Inggeris sebagau bahasa kedua dengan lancar juga boleh menggunakan kaedah tersebut dan ia berkesan dalam kajian yang telah dijalankan.


3)    Kajian Ke Atas Penutur Bahasa Parsi Yang Mempelajari Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Ahli psikolinguistik juga telah menjalankan kajian ke atas penutur asli bahasa Parsi. Dalam kajian ini, penutur asli bahasa Parsi mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka. Kajian telah dijalankan dengan tujuan untuk melihat pengaruh pendedahan input dalam persekitaran formal dan pengaruh usia ketika pendedahan kepada bahasa asing bermula ke atas kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam kalangan penutur asli bahasa Parsi. Kajian yang dijalankan juga telah menggunakan metode soal selidik iaitu menerusi ujian penilaian gramatis (Grammaticality Judgement Test). Dalam konteks ini, penutur asli bahasa Parsi akan menjawab soal selidik yang telah dijalankan. Kajian yang telah dijalankan telah membuktikan bahawa tempoh pembelajaran bahasa Inggeris secara formal yang lebih panjang telah mambantu penutur asli bahasa Parsi untuk menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dengan baik. Selain itu, pendedahan yang lebih awal terhadap bahasa Inggeris juga membantu penutur asli bahasa Parsi dalam menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dengan baik dan lancar. Kedua-dua perkara tersebut sangatlah membantu penutur asli bahasa Parsi menjawab penilaian gramatis dengan baik serta dapat membuktikan bahawa mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan lancar.

Kesimpulan

            Kesimpulannya, jelaslah bahawa pemerolehan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua bukanlah satu perkara yang sukar bagi seseorang individu. Setiap individu hendaklah menguasai bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa yang boleh difahami oleh semua orang. Selain itu, bahasa Inggeris juga akan menjadi bahasa komunikasi antara dua penutur bahasa dari negara yang berbeza. Oleh itu, melalui kajian yang telah dijalankan oleh ahli psikolinguistik jelaslah bahawa setiap individu dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan lancar sama ada dalam tempoh yang singkat mahupun lama.


RUJUKAN

Danny D. Steinberg terjemahan Azhar M. Simin (1990). Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa.  

            Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Soenjono Dardjowidjojo (2003). Psikolinguistik: Pengantar Pemahaman Bahasa Manusia.

Yayasan Obor Indonesia

 

Stephen D. Krashen, Second Acquisition and Second Language Learning, (Pergamon Press

Inc, University of Southern California: 1981

 

Google (2022). Teori Pemerolehan Bahasa. Diperolehi pada 1 Disember 2022 daripada

            https://educhannel.id/blog/artikel/teori-pemerolehan-bahasa

 

 

No comments:

Post a Comment

Second ?

  Pemerolehan Bahasa Kedua Pengertian pemerolehan bahasa (language acquisition) berbeza dengan pembelajaran bahasa (language learning). Me...