Tuesday, December 13, 2022

Normal VS Tidak Normal ?

 PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

    Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa oleh kanak-kanak merupakan satu perkara yang sangat unik dan menakjubkan untuk diketahui dengan lebih mendalam. Istilah pemerolehan ini digunakan daripada terjemahan bahasa inggeris iaitu acquisition yang membawa makna kepada proses penguasaan bahasa yang dilakukan oleh anak secara natural pada waktu dia belajar bahasa ibundanya (native language) (Soenjono Dardjowidjojo: 2003: 225). Istilah pemerolehan ini telah dibezakan dengan istilah Inggeris “learning” iaitu membawa makna kepada pembelajaran. Pembelajaran ini merupakan satu proses yang dilakukan secara formal iaitu proses yang dijalankan dalam kelas dan diajar oleh seorang tenaga pengajar. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa proses dari anak yang belajar menguasai bahasa ibunya dikenali sebagai pemerolehan manakala proses yang melibatkan belajar di dalam kelas dikenali pembelajaran (umumnya orang dewasa). Oleh itu, pada blog ini saya akan mengupas dengan lebih mendalam maklumat tentang pemerolehan bahasa pertama iaitu melibatkan pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak normal dengan kanak-kanak yang tidak normal.


PERBEZAAN PEMEROLEHAN BAHASA KANAK-KANAK NORMAL DENGAN KANAK-KANAK TIDAK NORMAL

    Semasa proses pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak akan memperoleh bahasa pertamanya melalui kaedah “Nature” iaitu secara semulajadi dan melalui kaedah “Nurture” iaitu secara asuhan, bimbingan dan didikan. Dalam hal ini, pemerolehan bahasa pertama oleh kanak-kanak melalui “Nature” ialah lebih merujuk kepada semulajadi iaitu membawa makna kepada kanak-kanak memperoleh bahasanya daripada sekelilingnya ataupun persekitarannya. Kanak-kanak mudah memperoleh bahasa melalui keadaan sekeliling. “Nurture” pula merujuk kepada kanak-kanak memperoleh bahasanya melalu bimbingan atau didikan oleh ibu bapa ataupun orang yang di sekeliling kanak-kanak tersebut. Apabila mempelajari bahasa, kita memahami tuturan sebelum mengujarkannya. Danny (1982) menyatakan bahawa selain dua tiga perkataan dan frasa, kanak-kanak tidak boleh mengujarkan perkataan, frasa dan ayat apa pun secara berkesan sehinggalah dia berpeluang mendengar dan memahami perkataan,frasa, dan ayat yang diujarkan oleh seseorang.

    Pemerolehan bahasa merupakan proses-proses yang berlaku di dalam otak kanak-kanak semasa memperolehi bahasa ibundanya. Pemerolehan bahasa ibunda oleh kanak-kanak ini melibatkan pemerolehan bahasa pertama yang terdiri daripada beberapa peringkat. Pemerolehan bahasa bayi akan meningkat sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otaknya dan semakin meningkat usianya semakin mahir mereka menguasai bahasa. Oleh itu, terdapat beberapa perbezaan yang berlaku dalam peringkat kanak-kanak normal dan kanak-kanak tidak normal memperoleh bahasa pertamanya:

1)Peringkat Bebelan Atau Mengagah (Babbling)


                                                Video 1: Contoh Mengagah Atau Membebel

    Peringkat yang pertama ialah peringkat membebel atau mengagah dan lebih dikenali sebagai    peringkat “Babbling”. Peringkat ini berlaku apabila kanak-kanak masih bayi lagi sehingga usia enam bulan. Pada peringkat ini, kanak-kanak akan mula mengalami perkembangan bahasa yang dikenali sebagai perkembangan fonologi dalam bentuk paling asas. Pada peringkat “Babbling” ini, kanak-kanak normal dan kanak-kanak tidak normal masing-masing mengalami lima tahap yang sama semasa memperoleh bahasa pertama. Tahap yang pertama ialah tahap tangisan. Pada tahap tangisan ini, kanak-kanak normal dan kanak-kanak tidak normal masing-masing mengeluarkan bunyi tangisan semasa mereka dilahirkan.

    Tahap yang kedua ialah tahap “Cooing”. Semasa berusia empat bulan, bayi akan mula mengalami tahap “Cooing” iaitu tahap dimana mereka mula bermain dengan vokal seperti [a], [u] dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak normal juga boleh menyebut bunyi-bunyi vokal seperti “Uuuu” dan “Aaaa” pada usia empat bulan. Mereka juga akan menghasilkan pelbagai variasi bunyi. Tahap yang seterusnya ialah tahap “Canonical Babbling” iaitu tahap dimana bayi mula menggabungkan bunyi-bunyi vokal dan konsonan yang paling mudah seperti “Ba ba ba”, “Ma ma ma”, “Da da da” dan sebagainya. Tahap “Camonical Babbling” ini mula berlaku semasa bayi-bayi berusia enam bulan ke atas. Pada tahap ini, bayi yang normal dapat menggabungkan bunyi-bunyi vokal dan konsonan dengan baik manakala bayi yang tidak normal akan mengeluarkan bunyi bahasa yang berbeza terutamanya bayi yang mempunyai masalah pendengaran.

    Tahap yang seterusnya dalam peringkat bebelan ini ialah tahap “Conversational Babbling”. Tahap ini bermula ketika bayi berusia lebih kurang 10 bulan. Pada tahap ini, kanak-kanak normal dapat telah memperoleh bahasa verbal manakala kanak-kanak khas (tidak normal) masih berada pada tahap berkomunikasi menggunakan gerak badan untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.

                                                           Video 2: Contoh Holofrasa

2)Peringkat Pertuturan Satu Kata (HOLOFRASA)

    Peringkat holofrasa ini merupakan satu peringkat dimana kanak-kanak mula menyampaikan sesuatu perkara dengan mengucapkan satu kata sahaja. Kanak-kanak akan melalui proses ini semasa mereka berusia sekitar 10 bulan sehingga 18 bulan. Kanak-kanak yang normal dipercayai boleh menuturkan kata pertama mereka pada usia 10 bulan manakala kanak-kanak khas (tidak normal) hanya menggunakan isyarat gerak mata dan suara (Menanggis) untuk berkomunikasi dengan orang yang berada di sekeliling mereka ketika mereka berusia 9 hingga 10 bulan. Dalam peringkat holofrasa ini, kanak-kanak akan mula menyebut perkataan yang asas dan dekat dengan mereka sahaja ketika mengeluarkan sesuatu perkataan seperti pakaian, makanan dan beberapa perkataan yang lain. Namun pada peringkat ini juga, suku kata dalam diri seseorang kanak-kanak normal mahupun kanak-kanak khas sangatlah terhad.

3)Peringkat Pertuturan Dua Dan Tiga Kata (Telegrafik)

    Semasa berusia 18 hingga 24 bulan, kanak-kanak yang normal dikatakan sudah dapat menghasilkan kata-kata yang membentuk ayat pendek. Kanak-kanak yang berada pada fasa telegrafik ini juga tidak menggunakan imbuhan semasa mereka mengeluarkan beberapa perkataan ataupun ayat pendek. Dalam peringkat ini, kanak-kanak normal belum menguasai fungsi kata dengan teratur. Pemerolehan fonologi dalam kalangan kanak-kanak normal juga berlaku secara agahan dan dipengaruhi peniruan pertuturan ibu bapa manakala kanak-kanak khas (tidak normal) pula tidak dapat meniru bunyi-bunyi di persekitaran mereka dengan mudah semasa berada di peringkat telegrafik ini. Semasa fasa telegrafik ini, kanak-kanak normal juga memerlukan bantuan orang sekeliling untuk mendedahkan mereka kepada beberapa perkataan secara perlahan-lahan bagi memperoleh bahasa pertama.


4)Perkembangan Ayat Kompleks

Kanak-kanak normal mula menguasai dan menggunakan elemen tatabahasa yang lebih rumit seperti penggunaan imbuhan ketika mereka berusia sekitar tiga puluh bulan (sekitar 2 tahun 6 bulan). Selain itu, kanak-kanak khas pula berada pada fasa di mana mereka masih memerlukan pendedahan dan bimbingan orang sekeliling bagi memperoleh bahasa pertama mereka. Pada usia sekitar tiga tahun hingga empat tahun, kanak-kanak normal sudah mulai menggunakan ayat yang lebih kompleks. Pada peringkat ini, ayat yang digunakan oleh kanak-kanak normal mula rencam. Namun begitu, kanak-kanak khas mula berada pada fasa menggunakan imbuhan tetapi mereka tetap sahaja memerlukan pendedahan dan bimbingan orang sekeliling. Apabila berkomunikasi dengan kanak-kanak yang tidak normal kita harus menggunakan gaya, intonasi dan sebutan yang lancar dan jelas supaya memudahkan mereka memahami apa yang kita sampaikan kepada mereka.

Kesimpulan

Kesimpulannya, jelaslah bahawa kanak-kanak normal dan kanak-kanak tidak normal mempunyai banyak perbezaan semasa mereka memperolehi bahasa pertama mereka. Namun, mereka mengalami peringkat yang sama ketika memperoleh bahasa pertama iaitu peringkat bebelan, peringkat pertuturan satu kata (holofrasa), pertuturan dua dan tiga kata (telegrafik) dan perkembangan ayat kompleks. Sekian, terima kasih.

 

RUJUKAN

Danny D. Steinberg terjemahan Azhar M. Simin (1990). Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa.  

            Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Soenjono Dardjowidjojo (2003). Psikolinguistik: Pengantar Pemahaman Bahasa Manusia.

Yayasan Obor Indonesia

 

Stephen D. Krashen, Second Acquisition and Second Language Learning, (Pergamon Press

Inc, University of Southern California: 1981

 

Google (2022). Teori Pemerolehan Bahasa. Diperolehi pada 1 Disember 2022 daripada

            https://educhannel.id/blog/artikel/teori-pemerolehan-bahasa

 

 

No comments:

Post a Comment

Second ?

  Pemerolehan Bahasa Kedua Pengertian pemerolehan bahasa (language acquisition) berbeza dengan pembelajaran bahasa (language learning). Me...